29 September 2010

Si sepet, si kaki botol - kabinet kesal



Jemaah Menteri hari ini mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat seorang pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) yang didakwa telah menghamburkan kata-kata perkauman ke atas masyarakat Cina dan India di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Beliau bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya.

Dr Subramaniam berkata jemaah menteri secara umumnya kesal mendengar kata-kata yang didakwa dihamburkan oleh timbalan pengarah BTN, Hamim Husin pada sebuah majlis membabitkan Puteri Umno pada Isnin lalu.

Dia didakwa menghina melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si sepet mata dan 'si kaki botol'.

Hamim semasa sesi tertutup itu dilaporkan oleh sebuah portal berita sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.

“Hak Melayu adalah untuk memerintah negara. Melayu mesti bersatu menghadapi ancaman,” katanya.

Hamim juga didakwa berkata: “Melayu tidak boleh memerintah sendirian. Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC.

Isu Wang Haram di P Pinang: Halal untuk orang miskin?


"Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi."

Demikianlah jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mantan mufti Perlis dalam respons beliau terhadap isu kerajaan negeri Pulau Pinang yang memberikan wang saguhati kepada warga emas, yang 'khabarnya' bersumberkan judi lumba kuda.


Katanya, bahawa para penerima wang (orang-orang Islam berusia emas) itu tidak haram. Pihak yang memberinya itulah yang menanggung dosanya. Samalah, kata beliau, apabila kakitangan awam dibayar gaji yang mana kita semua maklum, wang gaji itu bersumber daripada perbendaharaan negara.

Dalam perbendaharaan negara, ia menerima apa-apa sahaja sumber kewangan termasuklah daripada sektor perjudian, minuman keras dan yang sewaktu dengannya. Ia diterima menerusi cukai perniagaan yang dikutip oleh pihak kerajaan.

Nah! Jika benar kita mahu memastikan wang gaji kita bersih dan suci 100 peratus barang kali kita tidak boleh menerima gaji daripada pihak kerajaan pusat. Melainkan, mereka mengasingkan dana halal dan haram dan hanya memperuntukkan halal untuk Islam dan haram untuk bukan Islam.

Dalam Islam, perbendaharaan negara disebut Baitul Mal. Persoalannya, adakah sama Perbendaharaan Negara yang ada pada hari ini di peringkat negeri dan pusat dengan Baitul Mal? Saya tidak berani nak jawab…

Jika diikutkan, fungsi Baitul Mal ini adalah sangat meluas. Salah satu daripadanya, Baitul Mal juga adalah tempat dititipkan segala jenis harta yang tidak halal mahu pun syubhah. Jika di Baitul Mal, maka wang itu tidak menjadi haram untuk digunakan kembali kepada rakyat. Ini kerana, ada pandangan ulamak menyatakan demikian.

Saya pernah terjumpa pandangan Dr Yusuf al-Qardhawi terhadap corak penggunaan wang haram. Secara asasnya, wang haram itu tidak boleh sama sekali dimanfaatkan oleh pemilik wang untuk faedah peribadi.

Tetapi, ia boleh diberikan kepada pihak lain demi maslahah umum atau kebajikan awam. Ia termasuklah memberikan wang haram itu kepada orang fakir dan miskin dan juga untuk tujuan dakwah Islam.

Saya sempat mencari di dalam internet, alhamdulillah saya bertemu dengan sebuah artikel yang dipetik daripada Bahagian Mal, Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Berikut saya paparkan sedikit kutipannya:

“Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik kepada maslahah a'mmah seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan antaranya membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah SWT, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.

Harta tidak patuh syariah juga tidak boleh digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri atau keluarga. Menurut al-Qaradawi, ia juga haram secara yakin untuk ditinggalkan dalam akaun bank konvensional (dalam kes faedah riba).

Harta tidak patuh syariah ini jika daripada jenis yang boleh dimanfaatkan seperti wang, ia tidak seharusnya dimusnahkan seperti dengan membakar atau mencampakkannya ke dalam laut.

Fuqaha semasa seperti al-Qaradawi menjelaskan bahawa perbuatan ini menyalahi kaedah syarak yang melarang tindakan idha'ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa.

Mungkin ada yang mempertikaikan, bagaimana harta yang haram dan tidak baik ini boleh disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin atau perkara-perkara kebajikan sedangkan kita sendiri tidak tergamak untuk menggunakannya?

Menjawab persoalan ini, al-Qaradawi menjelaskan bahawa pada hakikatnya harta tersebut sememangnya haram dan tidak baik dalam konteks orang yang mendapatkannya secara tidak halal.

Sebaliknya, dalam konteks fakir miskin dan juga perkara-perkara kebajikan, ia adalah baik dan harus untuk digunakan. Institusi Baitulmal dalam konteks maslahat umum ini, boleh berfungsi sebagai pemegang amanah kepada harta tidak patuh syariah untuk dibelanjakan demi kepentingan masyarakat secara umum.

Ini bertepatan dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 yang telah menetapkan bahawa: “Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum”

- Petikan daripada artikel 'Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah' oleh Unit Amanah & Wasiat, Bahagian Mal, MAIS.

Wallahua'lam.

27 September 2010

ADUN Galas meninggal dunia


KUALA LUMPUR, 27 September 2010-ADUN Galas, Che Hashim Sulaima, 48, yang menghidap barah usus meninggal dunia di Hospital Al-Islam Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 4.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menerusi twitternya sebentar tadi.

Pada 26 Julai lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu, tetapi kemudiannya dibenarkan pulang.

Che Hashim dimasukkan Hospital Pakar Perdana itu, selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kemoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Allahyarham memenangi kerusi Galas yang terletak dalam parlimen Gua Musang dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu dengan mengalahkan calon BN, Saufi Deraman.

Ini adalah kali ke-12 pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas pilihan raya umum 2008 berikutan kematian atau perletakan jawatan.

Sementara itu, jenazah Che Hashim sedang diuruskan di Masjid Jamek Kampung Baru, kata pembantu peribadinya Husin Embong.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS dilihat menziarahi allahyarham di masjid itu, termasuk timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa, serta naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

"Selepas selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan, kita akan terus bertolak bawa jenazah ke Gua Musang," kata Husin ketika dihubungi.

Beliau menjangka, mereka akan bertolak membawa jenazah ke kampung halamannya di Kampung Kerinting, Gua Musang menjelang jam 7 malam.

Tambahnya, pimpinan PAS negeri serta warga Gua Musang akan menunggu ketibaan jenazah di Masjid Tengu Faiz Petra dan akan terus disemadikan di perkuburan berhampiran.

Allahyarham meninggalkan dua balu - Che Bongsu Jusoh dan Aida Zahari - serta 12 orang anak, yang turut berada di masjid itu hari ini. AL-FATIHAH BUAT ARWAH DARI EDITOR MyShopIklaNewsNetwork

myMetro | Artis dicekup di rumah janda


PUTRAJAYA: Seorang penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an dan awal 1990-an memberi alasan datang berhari raya ketika dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah janda dipercayai kekasihnya di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, kelmarin.
Artis berusia dalam lingkungan awal 50-an itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menyerbu premis itu pada kira-kira jam jam 11.45 malam.

Menurut sumber, artis terbabit dipercayai sudah beberapa kali mengunjungi kekasihnya yang menginap di tingkat dua kuarters 15 tingkat itu sebelum penguat kuasa Jawi menyerbu premis itu.

Sebelum itu, penguat kuasa Jawi mendapat maklumat awam berkaitan kehadiran artis itu di rumah janda beranak dua berusia lingkungan 30-an yang juga kakitangan kerajaan di sebuah kementerian, di sini, yang dikatakan berdua-duaan di dalam rumah itu, sejak jam 10.40 malam.

Sumber itu berkata, lima penguat kuasa Jawi membuat pemeriksaan dan terpaksa menunggu kira-kira 30 minit sebelum dibuka artis terbabit dan ketika itu pasangannya berpakaian kemas seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.

“Seperti biasa, penguat kuasa Jawi kemudian memasuki rumah dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seorang wanita yang juga berpakaian lengkap duduk di kerusi di satu sudut di dalam rumah itu.

“Artis terbabit yang dipercayai panik cuba melepaskan diri, cuba merayu bagi mengelak dikenakan tindakan dan secara jujur mengaku bukan mahram, tetapi tidak melakukan maksiat di rumah itu,” katanya.

Sumber berkata, alasan tidak bijak artis terbabit tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi yang kemudian mengingatkannya perbuatan berduaan dengan wanita bukan mahram adalah perbuatan maksiat dan boleh menjurus kepada perbuatan tidak bermoral termasuk zina.

Katanya, walaupun artis terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk kononnya mahu menghantar barang kepada kekasihnya itu, tetapi alasan itu ditolak mentah-mentah penguat kuasa.

“Selepas rayuan tidak dipedulikan, artis terbabit dan pasangannya yang sudah beberapa bulan menjanda kemudian akur sebelum dibawa ke Pejabat Jawi cawangan Putrajaya untuk disoal siasat,” katanya.

Menurut sumber itu, pasangan terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai dilakukan dan bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen, 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua penjara tahun atau kedua-duanya sekali. (Sumber myMetro)

24 September 2010

Arahan jangan tawar plat 'MCA' masih berkuatkuasa


Jabatan Pengangkutan Jalan berkata arahan supaya tender pendaftaran bagi Melaka - iaitu MCA 1 - 9999 tidak dibuka untuk tawaran umum, masih berkuatkuasa hingga hari ini.
Ketua pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata pihaknya menerima surat rasmi bertarikh 17 Februari 2010, dari setiausaha sulit kanan, Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat, mengarahkan JPJ tidak membuka tender nombor pendaftaran tersebut untuk tawaran umum.

"Arahan tersebut masih berkuatkuasa sampai hari ini, dan tidak pernah ada arahan yang baru daripada Datuk Seri Ong Tee Keat sepanjang masa beliau memegang sebagai menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk membuka nombor pendaftaran tersebut kepada umum semula, kata Solah, JPJ memerlukan arahan baru daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk membatalkan arahan lama yang dibuat oleh bekas menteri.

Kenyataan ketua pengarah JPJ itu dipercayai merujuk kepada kontroversi nombor pendaftaran kenderaan dengan huruf "MCA" yang dikatakan hanya untuk ahli parti MCA.

Pada 21 September itu, Cho Ha yang juga setiausaha agung MCA, menunjukkan surat kepada pemberita selepas diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai desas-desus bahawa nombor plat "MCA" yang bakal didaftarkan di Melaka selepas nombor plat "MBY", hanya dikhususkan untuk ahli MCA.

Surat itu yang kemudian diberi kepada pemberita, didapati ditulis setiausaha sulit kanan kepada Ong - menteri pengangkutan ketika itu - yang meminta pembukaan tender bagi nombor pendaftaran kenderaan negeri Melaka bermula MCA 1 sehingga MCA 9999 dikecualikan. Surat itu ditujukan kepada ketua pengarah JPJ.

Sehari selepas itu, Ong pula menafikan desas-desus bahawa beliau telah menggunakan kuasanya ketika itu untuk mengarahkan JPJ membekukan penjualan nombor plat tersebut, bagi dikhususkan kepada MCA.

Ong dilaporkan berkata, memo mengenai nombor pendaftaran kenderaan “MCA” dikhususkan untuk ahli parti MCA telah ditolaknya pada Mac lalu.

Justeru, kata Ong, isu itu tidak lagi berbangkit. -malaysiakini-

Pengarah syarikat perumahan juga akan kena tindakan


Kerajaan bukan saja akan mengenakan tindakan tegas kepada pemaju tetapi juga pengarah syarikat pemaju hartanah jika mereka gagal membina rumah atau hartanah berkualiti untuk pembeli.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, berkata ia termasuk menyenarai hitam mereka yang berkenaan.

"Selain itu tindakan juga akan dikenakan kepada pemilik asal tanah yang bersembunyi di sebalik syarikat nominee yang projeknya terbengkalai atau didapati melakukan kerja tidak berkualiti," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Chor berkata, secara purata pihaknya menerima 250 aduan setiap tahun daripada pembeli hartanah yang kebanyakannya mengenai mutu bahan binaan selain kualiti kerja yang rendah.

"Kerajaan juga akan mengetatkan peraturan untuk menjadi pemaju hartanah," katanya selepas perasmian pameran mengenai bahan binaan dan teknologi binaan, Buildtech 2010, di Kuala Lumpur.

- Bernama

23 September 2010

Tuanku Faris guna gelaran Sultan Muhammad Ke-V


Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kelima untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.
Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata penggunaan gelaran itu berkuatkuasa sejak pemashyuran Al-Sultan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

"Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan gelaran itu dan ia akan menjadi nama rasmi bagi gelaran Baginda untuk sebarang majlis dan gelaran yang harus dipakai oleh pihak media bagi mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata baginda berkenan untuk menggunakan nama itu atas kehendak sendiri dan untuk mendapatkan berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.

Katanya penggunaan gelaran Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan pada ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765 hingga 1795.

Abdul Halim berkata baginda Long Senik Long Tan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kedua (Sultan Muhammad Mulut Merah) pada 1836 hingga 1886.

Katanya, baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ketiga sejak 1890 hingga 1891.

Beliau berkata gelaran Sultan Muhammad Keempat telah digunakan oleh baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 sehingga 1920.

"Kita akan memaklumkan kepada seluruh jabatan kerajaan negeri penggunaan nama Al-Sultan dan ianya telah diwartakan untuk kegunaan rasmi," katanya.

Sementara itu, mengenai pemashyuran baginda yang berdepan dengan petisyen bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, beliau berkata Al-Sultan Kelantan tetap menjalankan tugas baginda sebagai ketua negeri seperti biasa.

"Kita telah merujuk perkara pemasyhuran itu kepada pakar undang-undang kita termasuk Setiausaha Majlis Perajaan Negeri. Kita akan memberi respons terhadap petisyen itu mengikut prosedur mahkamah.

"Ini bukanlah kali pertama dan kita yakin Setiausaha Majlis Perajaan Negeri akan memberikan penjelasan. Namun tugas dan aktiviti baginda berjalan seperti biasa," katanya mengulas petisyen yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya 20 Sept lalu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah berkenaan bahawa pemasyhuran anakanda sulung baginda, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai sultan baru, tidak mengikut perlembagaan.

Tuanku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar, di Kota Bharu pada 13 September lalu.

Berhubung laporan polis yang dibuat Istana Kelantan semalam berhubung beberapa salinan dokumen palsu berkaitan pengurniaan darjah kebesaran negeri oleh pihak tidak bertanggungjawab, Abdul Halim berkata pihak terbabit telah memalsukan namanya dan tandatangannya untuk menipu mangsa kononnya mereka mempunyai hubungan dengan saya untuk mendapatkan darjah tertentu daripada Istana Kelantan, sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Saya tidak pernah berbuat demikian dan tidak mempunyai kuasa untuk mengurniakan darjah," katanya.

- Bernama

Juara AF8 Shahir kemalangan Jalanraya















Remuk...Kereta mewah Nissan Fairlady yang terlibat kemalangan.

Juara Akademi Fantasia Kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau lebih dikenali dengan nama glamour Shahir 22,Juara Akademi Fantasia Kelapan (AF8) telibat dengan kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungkai, Perak pada Isnin lalu.
Kereta mewah jenis Nissan Fairlady yang baru sebulan dibeli merempuh besi penghadang di lebuhraya tersebut. Dalam kemalangan tersebut Shahir dan rakannya teselamat dan mengalami kecedaraan ringan.

Kejadian berlaku pada pukul 6.30 petang ketika dia memandu dalam keadaan hujan lebat sambil ditemani seorang rakan dalam perjalanan pulang ke ibu negara dari rumah keluarga di Kampar, Perak.

07 September 2010

Jangan bawa beg orang yang tidak dikenali, nasihat PDRM


Polis mengingat orang ramai yang pulang berhari raya dengan menaiki kenderaan awam agar tidak mudah terpedaya dengan permintaan orang yang tidak dikenali yang mahu membawa beg atau bungkusan ke denstinasi tertentu.
menurut informasi polis beg atau bungkusan tersebut dikhuatiri mengandungi dadah atau benda yang terlarang. Taktik ini pernah dikesan berlaku diperhentian bas, stesen keretapi dan lapangan kapal terbang dengan meletakkan beg atau bungkusan mengadungi dadah di dalam bas, kawasan bagasi keretapi atau menumpang beg orang lain di lapangan terbang

06 September 2010

Letak pemadam api dalam kenderaan


SUBANG JAYA: Semua pengguna khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri disyorkan meletakkan alat pemadam api dalam kenderaan masing-masing.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, negeri Selangor Soiman Jahid, berkata alat pemadam api dapat membantu pengguna memadamkan api sementara menunggu kehadiran anggota bomba.


Menurutnya, dengan pelaksanaan “Satu Kereta Satu Alat Pemadam Api”, sekurang-kurangnya alat berkenaan berupaya membantu mengurangkan kemalangan berpunca daripada api “Selain itu, saya juga ingin mengingatkan pengguna di jalan raya bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental sebelum memulakan perjalanan. Sekiranya terbabit dalam kemalangan atau melihat kemalangan dalam perjalanan, saya berharap pengguna dapat menghubungi talian 999 dengan segera bagi memastikan mereka yang terbabit menerima bantuan kecemasan,” katanya.

03 September 2010

25 syarikat konsesi lebuh raya bagi diskaun tol


Orang ramai yang merancang pulang beraya tahun ini bakal menerima ‘hadiah raya’ sempena Aidilfitri apabila sebanyak 25 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju memberi insentif kepada pengguna termasuk pengecualian dan diskaun kadar tol. Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, di bawah pengurusan Kumpulan MTD pula bakal menggunakan laluan itu secara percuma untuk semua kelas kenderaan selama dua malam perjalanan.
Orang ramai boleh menikmati perjalanan percuma itu mulai jam 9 malam, 7 September hingga 6 pagi, 8 September dan jam 9 malam, 15 September hingga 6 pagi, 16 September.

Bagi syarikat konsesi lain, kadar diskaun antara 10 hingga 40 peratus ditawarkan dalam dua bentuk iaitu secara automatik ketika membayar tol dan rebat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, insentif itu adalah satu tanda penghargaan daripada kerajaan dan syarikat konsesi kepada rakyat sempena Aidilfitri ini.

02 September 2010

Sebahagian besar premis Pavillion tiada logo halal


Melihat pemeriksaan mengejut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap sebuah premis makanan di medan selera di pusat beli-belah Pavillion, beberapa pengusaha premis makanan lain bergegas menanggalkan logo dan sijil halal bukan diiktiraf jabatan itu dari dinding premis mereka.


Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim Amri Abdullah berkata tindakan itu dipercayai untuk mengelakkan premis berkenaan diambil tindakan kerana penggunaan logo dan sijil halal yang bukan dikeluarkan Jakim.

Beliau berkata keadaan menjadi kecoh seketika apabila Jakim disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memeriksa premis menjual ayam dan itik panggang kerana cara penyembelihan diragui.

"Apa yang menimbulkan tanda-tanya, semasa tinjauan awal, kami mendapati adanya logo halal yang dipamerkan. Tetapi ketika pemeriksaan berikutnya, logo berkenaan sudah tiada lagi dipamerkan," katanya kepada pemberita selepas selesai memeriksa premis-premis di medan selera berkenaan.

Pemeriksaan itu yang disertai tiga pegawai Jakim, tiga pegawai KPDNKK dan lima anggota PPIM dilakukan setelah menerima rungutan dan aduan orang ramai berkaitan penyalahgunaan sijil halal yang diguna pakai premis makanan berkenaan.

Dalam pemeriksaan semalam itu, pengusaha premis makanan itu berkata mereka memperoleh logo dan sijil halal melalui pihak pengurusan pusat beli-belah itu tanpa berurusan terus dengan pengeluar sijil halal terbabit.

Amri kemudiannya mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan medan selera itu untuk mendapat penjelasan berhubung penggunaan logo berkenaan.

"Pihak pengurusan itu menjelaskan kepada saya permohonan logo dan sijil halal daripada Jakim sudah dibuat untuk semua premis-premis makanan di medan makan menggunakan pihak ketiga.

"Oleh itu, saya menasihatkan mereka supaya berurusan terus dengan Jakim dan Jakim juga bersedia datang ke premis untuk memberi panduan tentang kaedah-kaedah yang betul untuk memastikan makanan disediakan secara halal," katanya.

Beliau berkata premis berkenaan belum pernah dipantau atau diaudit oleh pihak berkuasa berkaitan menyebabkan mereka kurang arif tentang isu penggunaan logo halal.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PPIM Datuk Nadzim Johan berkata tindakan terburu-buru peniaga menanggalkan logo dan sijil halal berkenaan menunjukkan mereka sedar penggunaan logo halal selain Jakim adalah salah tetapi mereka masih menggunakannya.

Katanya semasa tinjauan itu, PPIM mendapati sijil halal yang digunakan di premis-premis berkenaan dikeluarkan oleh syarikat Bahtera Lagenda Sdn Bhd melalui logo tertera IFRC. Syarikat berkenaan merupakan antara enam syarikat yang tidak diiktiraf akan kesahihan sijil halalnya.

- Bernama

Berkhalwat dengan isteri orang di bulan puasa


PUTRAJAYA, 01 September: Seorang lelaki cuba terjun dari tingkat 14 sebuah apartmen kerajaan didudukinya di Presint 15, di sini, selepas perbuatannya berselingkuh dengan isteri orang sejak beberapa bulan lalu dibongkar penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tengah hari, semalam.

Sebelum kejadian, lelaki berusia 40-an yang juga kakitangan sebuah sekolah, di sini, dikatakan berada dalam apartmen 15 tingkat itu bersama ‘kekasih gelapnya’ yang juga kakitangan di sekolah sama selepas menghantar isterinya ke tempat kerja di kawasan berhampiran, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Keasyikan lelaki terbabit bersama pasangannya yang berusia 20-an dan mempunyai dua anak memadu kasih dalam rumah itu terganggu apabila dikejutkan dengan kehadiran sepasukan kira-kira lima penguat kuasa Jawi pada kira-kira jam 2 petang.


Penguat kuasa Jawi dipercayai sudah memantau kegiatan pasangan itu lebih empat bulan lalu mengetuk pintu beberapa kali dan berada di depan pintu selama lebih 15 minit sebelum dibuka seorang wanita berbaju kurung dan bertudung merah jambu.


Serbuan mulanya dianggap gagal selepas pemeriksaan mendapati pasangan wanita itu tidak ada dalam apartmen itu, akhirnya mendapati kelibat seorang lelaki tanpa baju sedang berdiri di luar beranda apartmen jirannya.


Lelaki terbabit dipercayai sanggup menyabung nyawa bersembunyi di beranda tanpa penghadang dan boleh tergelincir, tanpa mempedulikan beberapa penguat kuasa yang terpaksa berpaut di antara satu sama lain di beranda bagi memujuk lelaki terbabit memasuki semula rumahnya.


Mujur lelaki itu lembut hati selepas diberi ‘tazkirah’ pendek penguat kuasa Jawi, lalu memasuki semula apartmennya dan segera ditahan.


Selepas beberapa minit disoal, dia meminta kebenaran ‘menjemput’ isterinya di sebuah pejabat kerajaan berhampiran bagi memaklumkan insiden menimpa dirinya, tetapi tidak dibenarkan kerana dia sudah berada dalam tahanan Jawi.


Bagaimanapun, isteri lelaki terbabit rupa-rupanya berada di tingkat bawah apartmen dipercayai dihantar rakan sebelum aksi memilukan dapat disaksikan apabila lelaki terbabit yang bergari dan diiringi penguat kuasa Jawi memeluk serta memohon maaf kepada isterinya sambil menitiskan air mata. Sumber Jawi berkata, hasil soal siasat mengesahkan pasangan itu bukan saja tiada sebarang ikatan, malah kedua-duanya sudah berumah tangga dan isteri lelaki terbabit kini sarat mengandung.


“Kami memang sudah lama memantau kegiatan pasangan ‘gelap’ ini di apartmen itu berdasarkan maklumat dan siasatan yang dilakukan.


“Serbuan hari ini dibuat selepas maklumat tepat mendapati pasangan terbabit sudah berada dalam apartmen berkenaan dan pintu hanya dibuka seorang wanita selepas kira-kira 15 minit diketuk.



“Malah, wanita itu juga sudah berpakaian lengkap apabila pintu dibuka, manakala pasangannya lesap seketika sebelum ditemui bersembunyi di beranda apartmen jirannya,” katanya.

01 September 2010

Ismail Omar, Ketua Polis Negara ganti Musa Hassan


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan diberi lanjutan kontrak untuk kali ketiga dan jawatannya akan diambil oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar, berkuatkuasa 13 September ini.
Menurut Utusan Malaysia Online, perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi berbulan-bulan lamanya tentang jawatan Musa yang berakhir bulan ini.

Musa, 59, mencapai umur persaraannya pada 2007 tetapi kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali. Lanjutan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pembangkang dan aktivis hak asasai manusia.

Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pula akan disandang Datuk Hussin Ismail, 57, yang merupakan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

Sehubungan itu, Hishamuddin bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Musa yang telah berkhidmat selama 41 tahun dalam pasukan polis.

Nuffnag ads