31 January 2011

RON97 naik 10 sen lagi,


Harga petrol RON97 akan dinaikkan 10 sen berkuatkuasa tengah malam ini menurut satu sumber industri.

Dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan meningkat menjadi RM2.50 seliter (RM2.40 sebelumnya).

Ini merupakan kenaikan harga yang keempat berturut-turut bagi petrol RON97.
Kenaikan harga ini juga dilakukan sehari selepas pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung semalam.

Semenjak tahun lalu, harga RON97 mula dinaikkan kepada RM2.15 pada 2 November, RM2.30 pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.50 pada 4 Januari tahun ini.

Harga bagi petrol RON97 yang banyak digunakan oleh kenderaan berkuasa tinggi, tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.

Apungan itu diperkenalkan tahun lalu dan satu gred baru petrol RON95 turut diperkenalkan.

Harga bagi RON95 kini ditetapkan pada kadar RM1.80 seliter.

Pengurangan subsidi bagi bahan keperluan seperti petrol telahpun mula diperkenalkan melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sejak awal tahun lalu.

Badan berkenaan ditubuhkan bagi mengurangkan beban subsidi negara.

Karnival Wow! Putrajaya 2011


PUTRAJAYA- Selepas kejayaan mencatat kehadiran penonton hampir 50,000 pada penganjuran kali pertama Karnival Wow! Putrajaya, ia sekali lagi dianjurkan tahun ini.
Karnival yang diadakan selama tiga hari berturut-turut itu akan bermula pada 11 Februari ini di Tapak Pasar Tani, Presint 2.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, karnival kali ini sangat bermakna kerana ia akan turut diadakan bersempena Sambutan 10 Tahun Pengisytiharan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, ia juga bertujuan menjadikan Putrajaya sebuah bandar ceria.

"Karnival kali ini akan lebih menarik apabila pameran yang diadakan lebih menyeluruh bersempena dengan ulang tahun ke-10 Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan.

"Ia juga bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Putrajaya lebih ceria dan bertenaga terutama selepas waktu pejabat dan hujung minggu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara pra-pelancaran Karnival Wow! Putrajaya 2011 di sini malam tadi.

Tambah Samsudin, pelbagai acara menarik berkonsepkan sambutan yang meriah dan berwarna-warni akan dipertontonkan kepada pengunjung yang hadir.

"Pelbagai gerai jualan dan pameran yang menjanjikan pengalaman menyeronokkan bagi seisi keluarga akan diadakan," katanya.

Antara program menarik disediakan adalah persembahan Tatu Angkatan Tentera Malaysia, pertunjukan raja layang-layang, belon udara panas, pameran simulator F1 dan F1 Power Boat.

Majlis perasmian karnival itu pada 12 Februari ini akan turut menampilkan persembahan beberapa artis terkenal tanah air seperti Ella, Awie, Amy Search, Hujan, Mila dan Ito.

Turut mengambil bahagian dalam acara kali ini ialah ahli kelab penunggang Harley Davidson, pameran kereta Ferrari dan kereta vintaj serta pameran auto saloon.

Bumbung stadium runtuh: Jurutera perunding didakwa


31 Januari-Seorang jurutera perunding hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu pada Jun 2009.
Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

--Bernama

Video lucah: Ariel Peterpan dipenjara 3 tahun


31 Januari-Suspek kes video lucah Najriel Irham atau lebih dikenali Ariel Peterpan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah (ditolak masa tahanan) beserta denda Rp250 juta (RM85,000).
Hakim Gedung Pengadilan Negeri Bandung, Indonesia, Singgih Budi Prakoso menjatuhkan hukuman itu selepas penyanyi terkenal itu terbukti secara sah dan menyakinkan terlibat menyebarkan dan membuat pornografi.

Hukuman itu jauh lebih rendah daripada pihak pendakwaan yang mahukan Najriel dikenakan hukuman lima tahun dan tiga bulan penjara, lapor agensa berita Indonesia ANTARA.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah menimbangkan bahawa tertuduh masih muda dan tidak pernah terlibat melanggar undang-undang sebelum ini.

Najriel diberikan tujuh hari untuk mengemukakan rayuannya.

400 Ratus Ribu Buku Teks KSSR Bahasa Inggeris Tahun 1 di Tarik Balik.


Akibat dari kesilapan mencetak, 400 ratus ribu buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun 1 ditarik balik. Akhbar pada 28 Januari 2011 melaporkan, kementerian pelajaran akan menarik balik hampir 400,000 buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun 1 sekolah kebangsaan kerana mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru, Mac depan.
Harga seunit buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun satu adalah RM8.20 dan jika mengambil kira keperluan hampir 400,000 naskah maka jumlahnya mencecah RM4 juta.

Hakim Syarie didakwa khalwat di kuaters kerajaan


31 Januari 2011-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di George Town hari ini terhadap tuduhan berkhalwat dengan Nurul Izani Md Isa di kuarters kerajaan dekat sini pada 5 Disember lepas.
Nurul Izani, 34, seorang penasihat kewangan yang bertugas di Kuala Lumpur, juga mengaku tidak tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya, yang menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Adam dan Nurul Izani dituduh melakukan kesalahan itu pada 2.05 pagi di rumah nombor 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di George Town.

Adam dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Izani dituduh mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding hari ini, Ketua Pendakwa Syariah, Zulhairi Aziz memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk perbicaraan kerana ia membabitkan pegawai kanan perundangan dan untuk berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat.

"Akan timbul isu-isu perundangan yang luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang yang lebih mendalam," katanya.

Bagaimanapun peguam bela Munawir Abdul Aziz memohon pihaknya diberi peluang mengemukakan hujahan balas berhubung isu memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana katanya Mahkamah Rendah Syariah juga perlu mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan untuk memindahkan kes itu.

--Sumber Bernama

24 January 2011

Lumpuh Selepas kena 'Gigitan Cinta' di Leher


Auckland- Seorang wanita berusia 44 tahun lumpuh buat seketika selepas dia dicium pasangannya di bahagian leher. Dia lumpuh di bahagian lengan kiri semasa menonton televisyen.

Doktor -doktor yang memeriksanya bingung mengenai punca dia diserang strok sehinggalah mereka mendapati terdapat tanda ciuman cinta di bahagian lehernya sekali gus meleraikan misteri serangan strok.
Wanita itu kemudian memberitahu doktor bahawa dia dicium beberapa hari sebelum diserang strok. Seorang doktor, Teddy Wu dari Hospital Middlemore di Auckland berkata: "Disebabkan ia merupakan ciuman cinta, terdapat sedutan yang kuat".

Menurutnya, terdapat darah beku di dalam arteri di tempat sedutan itu dibuat. Dia berkata, darah beku tersebut tidak dapat bergerak menyebabkan strok itu berlaku. Wanita itu pulih selepas dirawat dengan ubat antibekuan- Berita Agensi.

Nuffnag ads